Bacalah dengan nama tuhanmu..

Bacalah dengan nama tuhanmu..

Wednesday, September 26, 2012

Merajuk sebagai imej positif

 
 
Oleh Hamizah Badiran
hamizah@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
RAUT wajah masam mencuka serta panggilan dan mesej menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) pasangan enggan dijawab antara tanda seorang wanita itu merajuk.
Kadang-kadang, tanpa diketahui punca dan musababnya perkara itu terjadi, si pasangan menjadi kelu serta keliru. Rajuk si wanita kalau hanya sehari saja tidak mengapa tetapi jika sudah sampai berminggu-minggu, pasangannya boleh jadi bosan pula.

Tetapi hendak buat macam mana, itulah adat bercinta, memang banyak ragamnya. Pasangan bercinta sering merajuk, dipujuk, memujuk dan pelbagai lagi kepahitan dan keindahan warna-warni cinta.

Ia bukan saja terjadi kepada pasangan baru bercinta kerana hal yang sama turut berlaku kepada pasangan yang sudah mendirikan rumah tangga. Tidak kira usia perkahwinan mereka baru setahun jagung ataupun sudah ‘berabad’ lamanya. Peribahasa ‘sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri’ cukup sesuai untuk menggambarkan situasi ini.

Namun pasti ramai lelaki yang inginkan jawapan kepada persoalan yang selalu bersarang dalam minda mereka iaitu mengapa teman wanita atau isteri kerap merajuk? Apakah punca dan bagaimana pula mahu mengatasinya?

Terdapat pelbagai sebab pasangan kerap merajuk. Menurut Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar, Pembangunan dan Perhubungan Luar Universiti Tenaga Nasional (Uniten), Prof Madya Dr Rusinah Siron, antara empat punca itu adalah faktor keluarga, personaliti, keagamaan dan sosial.

“Menerusi faktor keluarga, wanita yang sudah melihat sejak sekian lama ibunya suka merajuk manakala ayahnya pula kaki memujuk, akan menyebabkan wanita itu memasang angan-angan agar pasangannya nanti melakukan perkara yang sama. Bak kata orang, wanita itu dilabel sebagai ‘anak ibu’ kerana dia mewarisi sikap ibu yang suka merajuk.

“Personaliti wanita itu pelbagai. Ada yang pendiam, periang atau berdikari. Sikap dan perlakuan ini juga menyumbang kepada sikap merajuk seseorang.

“Selain itu, kurangnya pegangan agama menjadikan seorang wanita itu tidak memikirkan antara dosa dan pahala jika terus menerus merajuk secara berlebihan.
Contohnya, dek merajuk suami lambat pulang ke rumah, isteri mengunci pintu bilik dan bermasam muka selama beberapa hari, malah tidak langsung memberi layanan kepada suami. Ini sudah semestinya menjurus dosa isteri kepada suami,” katanya.

Tambahnya, sikap suami atau teman lelaki yang dikatakan tidak peka dengan kehendak dan keperluan wanita dikenal pasti antara punca yang boleh menimbulkan ketegangan dalam rumah tangga dan percintaan.

Selain itu, wanita hari ini banyak mencapai kejayaan dengan pangkat dan darjat yang lebih tinggi daripada suami. Ia secara tidak langsung menjadikan mereka berada di dalam kelompok sosial yang menyokong segala perlakuan dan sikap wanita yang merajuk ini.

Contohnya, sekiranya isteri itu merajuk dan meminta nasihat daripada kawan wanitanya, adakalanya mereka akan memberi nasihat yang negatif.

Kata-kata seperti “Alah, awak teruskan merajuk dengan suami selagi dia tidak belikan awak seutas rantai emas sebagai tanda memujuk” memberi impak bahawa kelompok kecil sosial wanita adalah sama dan tidak saling memberi nasihat yang menjurus kepada kebaikan.

Hal ini sekali gus boleh membawa kepada perpisahan sekiranya tiada percubaan untuk meleraikan kekusutan yang timbul.

Statistik perceraian yang diambil daripada lama web Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), menunjukkan secara keseluruhannya, kadar perceraian semakin meningkat dari setahun ke setahun.

Keseluruhan kes perceraian di seluruh negara pada 2008 sebanyak 22,289 kes. Selangor mendahului senarai teratas kes perceraian dengan 3,558 kes, diikuti Kedah, 2,407 kes dan Johor, 2,329 kes.

Berkaitan sikap wanita yang suka merajuk, menurutnya, sebenarnya ia satu perkara yang memang ingin diketahui ramai wanita dan lelaki.

Ini kerana, sikap berkenaan boleh menjejaskan perhubungan, melemahkan dan meletihkan emosi yang akhirnya jika dibiarkan boleh menyebabkan wanita yang suka merajuk itu pasif dan tidak produktif.

Kajian yang dijalankan mendapati kebanyakan lelaki berpendapat isu seperti tidak mengingati tarikh istimewa khususnya hari jadi isteri dan ulang tahun perkahwinan adalah perkara remeh, sedangkan wanita menganggap peristiwa itu sesuatu yang cukup istimewa dalam hidup mereka.

Beliau berkata, tujuan kajian itu ingin mengetahui persepsi responden terhadap aspek merajuk dan jenis tindakan dalam mengatasi sikap merajuk yang dianggap boleh menyebabkan keruntuhan sesuatu perhubungan.

Begitupun, kata Dr Rusinah, tidak kira apapun tanggapan negatif terhadap turun naik emosi wanita itu yang menyebabkan mereka sering bertindak di luar kawalan, wanita ada alasan tersendiri terhadap setiap sikap itu.

Dalam kajian yang dijalankan terhadap 120 responden berusia antara 25 hingga 40 tahun itu, beliau mendapati jawapan responden wanita hanya difokuskan kepada aspek kekeluargaan dan sikap pasangan mereka serta tidak ditumpukan pada aspek rakan serta kerjaya meskipun soalan dikemukakan tidak tertumpu kepada perhubungan tertentu.

Malah katanya, ada responden wanita yang menyatakan mereka mudah berkecil hati apabila teman atau suami mereka tidak memuji masakannya atau memuji wanita lain di depan mereka.

Dalam hubungan itu, beliau berkata, berdasarkan pemerhatian, lelaki akan cuba memujuk wanita berkenaan tetapi apa yang menjadi masalah apabila pada satu peringkat, suami mulai bosan dengan sikap yang dianggap keterlaluan itu.

Berdasarkan hasil kajian, antara alasan diberikan responden mengenai sikap lelaki atau suami yang membuatkan mereka merajuk:

  • Keinginan tidak diambil perhatian oleh pasangan lelaki atau suami dan mereka tidak ambil kisah keinginan wanita itu.
  • Tidak sensitif terhadap perasaan wanita yang prihatin dalam sesuatu perkara dan pasangan hanya memandang remeh segala pandangan wanita.
  • Tidak peka pada hari istimewa pasangan dan kena diberitahu pada pasangan mengenai hal itu.
  • Memuji wanita lain di depan isteri atau teman wanita.
  • Menyindir mengenai imej dan personaliti isteri atau teman wanita dan membandingkan dengan wanita lain.
  • Suami tidak menjamah atau makan makanan yang disediakan kerana dirasakan tidak sedap atau tidak kena selera.
  • Suami atau teman lelaki tidak memuji pasangan pada ketika pasangan perlu pujian itu.
  • Suami atau teman lelaki lebih suka bercakap dan bergurau dengan teman sekerja wanita atau lelaki berbanding isteri atau teman wanita.
  • Kedekut dan tidak suka mengeluarkan belanja untuk keperluan isteri atau teman wanita.
  • Suka memerintah dan tidak suka membantu kerja rumah. Suka mengkritik isteri yang sibuk membuat kerja rumah tapi tidak mahu menolong.
  • Selalu keluar rumah dan balik lewat tapi tidak memberitahu sebab pulang lewat.
  • Tidak suka membeli buah tangan untuk anak dan isteri apabila balik dari kerja.
  • Tidak suka berhubung dengan telefon, SMS dan seumpamanya jika ada kerja luar.
  • Suami melebihkan ibu bapa dan adik-beradiknya serta sanggup berhabisan untuk mereka tetapi tidak mempedulikan keluarga sendiri.
  • Sering memberi pujian dan senyuman yang mesra untuk orang lain tetapi dengan anak isteri garang dan tidak mesra.
  • Ada duit digunakan untuk belanja rakan dan saudara-mara sedangkan anak isteri diketepikan.
  • Mudah mesra dengan orang lain tapi tidak mesra dengan keluarga sendiri.
  • Apabila balik kampung isteri, bersikap dingin dan tidak mesra.
  • Tidak membela anak isteri apabila ada saudara-mara dan ipar duai menyindir kekurangan anak isteri.
  • Tidak suka menemani isteri membeli-belah kerana malas hendak melayan isteri.
  • Tidak suka membelai mesra anak isteri pada saat anak isteri memerlukan seperti anak isteri sakit atau meraikan kejayaan mereka.
  • Suka bercakap kasar dan menengking pada anak isteri.
  • Tidak suka meraikan hari istimewa isteri seperti isteri naik pangkat atau hari ulang tahun perkahwinan.


    Untuk memberi keadilan kepada lelaki yang bergelar suami atau teman lelaki, beliau juga melakukan soal selidik kepada responden lelaki mengenai pandangan mereka terhadap wanita yang mudah merajuk.

    Soalan itu ditujukan kepada responden lelaki yang berada dalam kategori umur 25 hingga 47 tahun, bujang dan berumah tangga. Antara pandangan mereka seperti berikut:
  • Wanita suka melihat sesuatu perkara remeh tetapi bagi lelaki itu sebagai perkara besar, contohnya soal pilih gerai makan. Wanita cerewet pasal gerai makan hingga suka tarik muka jika tidak berkenan sedangkan lelaki anggap soal makan di mana-mana saja boleh.
  • Wanita sensitif tidak tentu pasal kerana inginkan perhatian sedangkan lelaki banyak perkara penting yang hendak difikirkan.
  • Wanita suka sangat diberikan perhatian, manja tidak bertempat, syok sendiri dan suka dipuji. Jika tidak dipuji mereka akan merajuk.
  • Wanita terlalu perasan dan mudah menjeruk perasaan kerana sering mengharapkan lelaki memahami mereka sedangkan mereka tidak mahu memahami lelaki.
  • Lelaki tidak suka menunjukkan perasaan mereka melalui kata-kata tetapi hanya memerhati dan bersikap tanggungjawab pada wanita. Wanita kena menerima hakikat itu.
  • Suka membeli-belah terlalu lama hingga membosankan lelaki, ini sebabnya lelaki malas dan tidak beri perhatian pada sikap wanita yang suka menghabiskan masa dengan aktiviti membeli-belah.
  • Terlalu banyak cakap mengenai diri orang lain dan mudah ke arah ‘mengata dan mengutuk’. Jika dilayan kata-kata mereka, ini menyebabkan lelaki suka berdiam diri.
  • Lelaki lebih suka menyuarakan perasaan hati mereka melalui perbuatan dan bukan perkataan.
  • Lelaki suka berdiam diri dan tidak suka bising tetapi ini tidak bermakna mereka tidak prihatin pada anak dan isteri.
  • Suami tidak suka diperintah, dikongkong dan dikawal dan jika isteri atau teman wanita melakukan pengawalan ini pada lelaki, lelaki akan bosan dan tidak akan memberi perhatian pada apa juga permintaan wanita.
  • Wanita kurang bijak dalam melahirkan kasih sayang melalui perbuatan tetapi hanya mengharapkan suami memberi kasih sayang berkenaan.
  • Jangan terlalu bergantung pada suami dan teman lelaki berkaitan perkara yang mampu dilakukan sendiri. Tetapi masalahnya, wanita suka bergantung harap sangat pada suami dengan tujuan suami sentiasa berada di samping mereka. Ini tidak digemari suami atau teman lelaki.
  • Wanita mesti memahami peranan dan diri mereka sendiri. Ubah perangai mengikut peringkat umur dan keperluan. Jika masih muda elok juga jika merajuk tapi jika sudah mempunyai anak ramai dan berusia, janganlah selalu merajuk.
  • Wanita jadikan diri mereka contoh yang baik dan merajuk memburukkan persepsi lelaki, jadi jangan bersikap seperti budak-budak kecil.
  • Wanita suka bertanya itu ini pada suami atau teman lelaki tapi tidak suka pada jawapan yang diberikan suami atau teman lelaki. Ini membuatkan suami atau teman lelaki bosan untuk melayan semua soalan itu.
  • Wanita banyak maksud dan tujuan dalam perbuatan mereka, jika dilayan, mereka kadangkala mengambil kesempatan.
  • Wanita memang sensitif dan beremosi. Ini tidak dinafikan tetapi jangan keterlaluan kerana lelaki tidak minat untuk melayan rajuk wanita.
  • Wanita jangan suka menunjuk-nunjuk kecantikan, kepandaian dan kekayaan mereka. Keinginan mereka dilayan ala puteri tidak boleh membodohkan lelaki kerana mereka tidak ada minat untuk melayan kerenah wanita seperti itu.
  • Wanita jangan kerap merajuk kerana bagi lelaki ia tidak ada keseronokan. Wanita hanya pandai menggunakan senjata mereka iaitu air mata dan merajuk untuk menarik perhatian lelaki. Ini taktik lama bagi lelaki.


    Pelbagai jawapan diberikan lelaki mengenai sebab wanita suka merajuk. Bagi mereka, apabila isteri ditegur sikit sudah merajuk, marah dan menangis serta bermacam-macam lagi akan membuatkan mereka lemas serta rimas berada di rumah.

    Selain itu, mereka juga menjadi marah dan malas untuk melaksanakan tanggungjawab rumah tangga dengan berkesan serta bersungguh-sungguh. Akhirnya mereka ambil keputusan untuk menyendiri dan melayan diri sendiri.

    Lelaki juga tidak suka dikawal, dikongkong dan diselidik tetapi mereka suka apabila diri mereka disokong, didorong dan dilayan isteri.

    Justeru, daripada semua jawapan yang diberikan itu, boleh dijadikan panduan bahawa merajuk yang keterlaluan akan mendatangkan kebosanan pada lelaki.

    Jangan menjadikan merajuk itu sebagai satu senjata tetapi jadikan ia sebagai satu imej untuk menunjukkan kepada suami atau teman lelaki anda yang ada masa dan ketikanya tindakan mereka itu salah. Perubahan amat diperlukan bagi membentuk perhubungan yang lebih baik.

    Ditanya berkemungkinan keadaan atau tahap emosi seseorang wanita yang berlainan menjurus kepada masalah ini, Dr Rusinah tidak menafikannya.

    “Wanita mudah beremosi kerana masalah peribadi, kesihatan, keluarga dan kerjaya. Ini menjadikan mereka mempunyai emosi yang turun naik lalu mudah merajuk jika kehendaknya tidak dipenuhi pasangan atau pasangannya itu membuat kesilapan kecil.

    “Masalah pelajaran, kenaikan pangkat, rakan sekerja bermasalah, datang bulan, keluarga asyik minta duit, penat berkerja, menanggung keluarga, menanggung suami yang bergaji kecil, adik-beradik tidak sepakat, sering kena marah ketua dan pelbagai masalah juga menjadikan wanita cepat marah.

    “Jadi, wanita seperti ini perlu bantuan daripada pasangannya dengan kata-kata dorongan dan motivasi agar tidak memakan diri dengan sikap pasif berkenaan,” katanya.

    Akibat daripada konflik ini, lazimnya perpisahan atau perceraian dilihat sebagai jalan penyelesaian lebih-lebih lagi selepas suami sudah bosan, bengang dan bingung dengan sikap wanita.

    Nasihat Dr Rusinah, wanita harus bersabar, bertahan dan berbincang ketika menempuhi saat sukar dalam satu perhubungan manakala berpisah dan bercerai sekiranya masalah itu sudah menemui jalan buntu.

    Bersabarlah dalam menghadapi jatuh bangun sebuah hubungan suami isteri dan bersyukur dengan apa jua kelebihan atau kekurangan pasangan.

    Selalu bermuzakarah, bersolat dan bertawakal kepada Allah untuk memohon kebaikan serta kebahagiaan rumah tangga ataupun hubungan percintaan di masa depan.



    Panduan untuk wanita bergelar isteri dan teman wanita memperbaiki diri serta menjadi individu lebih baik

  • Jangan sentiasa harapkan diri kita selalu diberikan perhatian oleh pasangan kerana sikap ini adalah agen pemusnah dalam perhubungan suami isteri.
    Sebaik-baik nasihat kepada diri - jika hendak diberi perhatian dan kasih sayang penuh mesra serta ikhlas oleh pasangan, kita perlu memberikannya terlebih dulu kepada pasangan.

    Memberi dan menerima kasih sayang itu antara pengikat dan pengukuh emosi yang stabil dalam perkahwinan.

  • Jangan sentiasa meminta sesuatu yang tidak menjadi keupayaan pasangan sedangkan kita sendiri tahu dia tidak mampu merealisasikan permintaan itu.

    Kita perlu mengasihani dan mengasihi pasangan dengan jujur serta ikhlas kerana ia akan menjadikan emosi kita kuat dan tidak dimamah emosi merajuk yang melampau.

  • Jangan mudah ambil hati jika pasangan kita menegur kesilapan dan kesalahan kerana sebagai suami, ia sudah menjadi tanggungjawab mereka. Ikuti nasihat yang baik dengan hati terbuka, mana yang sukar diterima, diamkan saja.

  • Jangan ego dengan kelebihan diri yang ada seperti cantik, menarik, pandai, anak orang kaya, berpangkat tinggi, ada nama dan pengaruh sehingga semua kehendak kita perlu dipenuhi pasangan. Ini antara punca wanita suka merajuk melampau kerana berasa diri mereka lebih besar dan berkuasa daripada suami.
    Fikir dengan waras menggunakan akal yang diberikan Allah supaya dapat sentiasa bersabar dan bersyukur atas kurniaannya.

  • l Jangan derhaka pada suami hanya kerana hendakkan sesuatu. Ini akan menyebabkan sesetengah wanita merajuk makan hati, sakit hati, dendam di hati dan dengki pada suami. Sebagai membalas dendam, mereka melakukan perkara dilarang agama seperti membuat hubungan sulit dan tinggalkan rumah hanya kerana merajuk sikap suami yang tidak peka, malah buat pekak kepada permintaan isteri.


    Bagi memulihkan hubungan antara suami isteri mahupun pasangan bercinta, wanita boleh memikat, menambat dan mengikat hati pasangan mereka dengan 4C iaitu:

  • Cantik fizikal, peribadi dan hati menjadi penyinar serta pemangkin kasih sayang suami. Suami mana tak bangga dapat isteri cantik dan menarik, berpakaian kemas, berbau wangi serta sentiasa senyum yang menjadi pencair hati.

    Cantik peribadi dan hati isteri seperti mulia hati, tidak lokek, suka menolong, pandai memasak dan mengambil hati suami kerana sudah sememangnya isteri beginilah yang menjadi dambaan.
  • Ceria dengan perwatakan yang menyenangkan hati suami seperti suka bergurau, menyakat dan sentiasa penuh dengan tawa ria tentu boleh membuat hati suami gembira dan bahagia.
  • Cergas fizikal seperti tangkas dalam membuat kerja rumah tangga, rajin menolong, sentiasa cergas dan mantap pergerakannya boleh membuat suami selalu ‘gila bayang’ pada si isteri.

  • Cerdik akal dalam memberi idea bernas kepada suami akan meningkatkan aspirasi�nya dalam kerjaya, perniagaan dan komuniti.

    Suami sudah tentu bangga dengan isterinya. Keharmonian rumah tangga juga boleh dikembalikan apabila setiap pasangan sentiasa berkasih sayang, jujur dan ikhlas. Tidak lupa untuk bekerjasama dan bantu membantu antara satu sama lain.
    Artikel ini disiarkan pada : 2011/12/15

  • No comments:

    Post a Comment