Bacalah dengan nama tuhanmu..

Bacalah dengan nama tuhanmu..

Sunday, November 13, 2011

Jangan Pilih Kerana Kagum!


by myilham.com on Thursday, November 10, 2011 at 5:59am

" Hebat kan Muslim tu. Dah la suara sedap. Segak pulak tu.. ". Bisik Aida kepada kawan baiknya, sambil pipinya kemerahan tak semena-mena.


" Aku tak pernah jumpa perempuan sematang dia. Seronok kerja dengan dia, semua jadi mudah. Kalau aku tersangkut, buntu, dia tak pernah hampakan aku.." Rizal seronok bercerita tentang Sakina, gadis awal 20-an yang sangat dikaguminya.

Kagum.

Perasaan biasa yang akan mendatangi diri saat terlihat perkara-perkara yang hebat. Kagum dengan kekayaan seseorang, kagum dengan kepandaian seseorang, kagum dengan susuk tubuh seseorang, kagum dengan kecantikan dan ke'hensem'an seseorang.

Bukan soal perasaan biasa tersebut yang mahu dibicarakan. Tetapi tentang memilih calon untuk sehidup semati atas dasar kekaguman!

Kelebihan dan kekurangan adalah dua elemen yang Allah ciptakan secara bersama dalam diri seseorang manusia. Kagum yang positif adalah :

1- Kagum dengan kelebihan seseorang dan mengembalikannya kepada Allah.

2- Menginsafi juga bahawa dalam masa yang sama dia tetap punya kelemahan.

Sebabnya, kerap kali juga berlaku masalah kagum yang negatif kepada seseorang manusia. Maksudnya, kagum semata-mata kagum tanpa mengembalikannya kepada Allah, kemudian menganggap orang yang dikagumi itu tidak punya kelemahan kecuali sekadar picisan.

Sebagai contoh, banyak berlaku, 'ustazah' kagum kepada 'ustaz' kerana dilihat ilmu agamanya yang tinggi, pandai berceramah, hebat berhujah dan sebagainya. Kebetulan, si 'ustaz' itu pula masuk melamar, lalu dengan pantas diterima. Akhirnya barulah merasa sesal. Kerana apa? Banyak kelemahan dan sudut pandang lain yang tidak kelihatan sebelum menerima baru terzahir selepas berumahtangga.

Kalaupun kagum kerana hebat berceramah dan petah berhujah, jangan sampai dilupa penilaian akhlak, adab, dan etika seseorang manusia. Ramai 'ustaz' yang kelihatan gah di medan, namun hakikatnya seorang yang panas baran, ego to the max, keras kepala, 'king control' dan sebagainya.

Itu hanya contoh kekaguman yang biasa dilihat, bukan bermakna saya maksudkan golongan 'ustaz' atau 'ustazah' seperti itu. Cuma mahu menyingkap hakikat, bahawa setiap manusia ada sudut lemah masing-masing yang perlu diperbaiki.

Masalah menjadi masalah apabila memulakan hidup dengan rasa kagum dan meneruskan hidup juga dengan rasa kagum. Kagum dan menganggap bakal pasangan sebagai sangat hebat, lalu terus diterima sebagai teman hidup. Kemudian, kagum dan terus menganggap pasangan sebagai 'orang hebat' lalu segala keburukan dan kelemahan pasangan langsung tidak pernah ditegur apatah lagi diperbaiki.

Positifkah rumahtangga seperti itu?

Jadi, kalau mahu menerima pasangan, jangan pilih kerana kagum. Jangan sama sekali. Kagum itu kalau boleh, letakkan sekadar satu 'bonus' sahaja. Nilai dari banyak lagi sudut yang lain. Adakala, satu ciri yang kita kagum-kagumkan, rupanya di sana ada sepuluh lagi ciri yang kita benci dan tidak inginkan.

Kagum kepada seorang figure yang hebat, seorang pemidato yang hebat, seorang penulis yang hebat dan sebagainya, jangan lupa kembalikan kepada Allah. Dia yang memberi kehebatan2 tersebut sebagai pinjaman. Jangan puja dan puji orang lain secara berlebihan, sehingga menidakkan sebuah kekurangan. Hebat mana pun manusia, sudut aibnya tetap ada.

Kerana sikap kitalah timbul masalah, apabila terzahir keburukan pada seseorang yang kita kagum, maka kita tak boleh terima hakikat. Kalau dia hensem, kita mahu dia seperti Nabi Yusuf. Kalau dia cantik, kita mahu dia seperti Aishah Humaira. Kalau dia pandai, kita mahu dia seperti Luqman Al Hakim.

Apabila dia terpaksa mengakui hakikat bahawa dia bukanlah insan2 tersebut ( dengan melakukan kesalahan, atau terzahir keburukan ) maka kita cenderung memandang serong, sukar memaafkan dan enggan menerima. Samada kita terus menerima dia dengan menafikan keburukan yang ada, atau kita menjauhinya dengan menganggap dirinya sampah yang tidak boleh dipercaya.

Kesimpulannya, kalau dalam bab nak berumahtangga, jangan jadikan faktor KAGUM sebagai penilaian utama. Lebih banyak kesan negatif dari positifnya, percayalah. Kita nak berumahtangga bukan dengan Malaikat tetapi dengan manusia. Soalnya bukan pasangan kita nanti ada kelemahan ataupun tidak ( kerana dah memang comfirm ada kelemahan ) tetapi soalnya adalah sejauh mana kita mampu melengkapi kekurangan dan mengislah keburukan yang ada pada pasangan kita.

Sama2 kita renungkan.

No comments:

Post a Comment