Adab-adab dalam bersahabat yang telah dinukilkan oleh imam Ghazali dalam kitab Hidayatul Hidayah.
1. Mengutamakan Sahabat dengan harta bendanya, Jikalau ia tidak berkuasa berbuat demikian maka sekurangnya hendaklah ia memberikan kepada sahabatnya apa-apa yang lebih dari hajat dirinya.
2. Menolong sahabat dengan diri pada segala hajatnya dengan cara bersegera, sebelum berkehendakkan sahabatnya bahawa ia meminta tolong akan dia.
3. Menyembunyikan rahsia sahabatnya.
4. Menutup keaiban sahabatnya.
5. Berdiam daripada menyampaikan perkataan orang lain yang mencela sahabatnya.
6. Menyampaikan segala perkataan orang lain yang memuji akan sahabatnya.
7. Mendengarkan dengan baik akan perkataan sahabatnya ketika ia bercakap-cakap.
8. Meninggalkan berbantah dengan sahabatnya.
9. Memanggil sahabatnya dengan nama yang terlebih disukainya.
10. Memuji sahabat dengan apa yang diketahui daripada kebaikannya.
11. Berterima kasih kepada sahabatnya atas sebarang kebaikannya
12. Menegahkan orang lain apabila mahu mengumpat sahabatnya seperti ia membela drinya sendiri.
13. Memberi nasihat dengan cara yang lemah-lembut dan bahasa yang halus apabila ia berkehendak menasihati sahabatnya.
14. Memaafkan daripada sebarang kesilapan dan kesalahan sahabatnya, maka janganlah ia mencelanya.
15. Mendoakan sahabatnya apabila ia duduk bersendirian, ketika sahabatnya itu masih hidup atau pun setelah ia mati
16. Mengekalkan kecintaan terhadap keluarga sahabatnya selepas daripada kematian sahabatnya.
17. Jangan suka memberatkan sahabatnya dengan bebanan dan tanggungjawab, bahkan hendak ia meringankan daripadanya supaya ia sentiasa senang hati kepadanya.
18. Menyatakan rasa kesukaan dengan segala yang menyukakan hati sahabatnya dan juga menyatakan rasa kesusahan pada segala yang menyusahkan hati sahabatnya.
19. Menyamakan antara hakikat kecintaan yang wujud di dalam hati dengan apa yang nampak diluar, maka dengan itu barulah kecintaan itu dianggap benar.
20. Memulakan memberi salam ketika ia menemui sahabtnya.
21. Meluaskan tempat duduk kepada sahabatnya ketika ia masuk ke dalam majlis dan hendaklah ia berpindah daripada tempat duduknya itu ke tempat yang lain ketika ia tidak dapat berbuat demikian.
22. Hendaklah ia bangkit menghantarkan sahabatnya itu (sehingga sampai kepintu rumahnya) ketika ia keluar dari rumahnya.
23. Hendaklah ia berdiam ketika sahabatnya bercakap-cakap sehingga ia selesai daripada percakapannya dan janganlah ia suka mencelah ketika sahabatnya sedang bercakap-cakap.
credit: halaqah.net
No comments:
Post a Comment